as salam and welcome..♥
( tugasan kkbi BMM3114..soalan 2.)
2.0 Konsep Budaya, Masyarakat, Kebudayaan
Melayu
Menurut Nik Safiah Haji Abdul Karim
(1963), perkataan budaya berasal daripada cantuman perkataan Sanskrit dan
Melayu, iaitu 'budhi' dan 'daya’. Perkataan
'budhi' yang dipinjam daripada bahasa Sanskrit bererti kecergasan fikiran dan
akal. Perkataan 'daya' pula ialah
perkataan melayu Polinesia yang bermakna kekuatan kuasa, tenaga dan
pengaruh. Jika dicantumkan kedua-dua
perkataan tersebut, budaya membawa maksud tenaga fikiran, usaha rohani atau
kuasa menggerakkan jiwa.
Kamus Dewan (2005), pula
mendefinisikan budaya sebagai kemajuan fikiran, akal budi atau cara berfikir,
berkelakuan dan sebagainya. Tegasnya,
budaya boleh didefinisikan sebagai suatu cara hidup yang diamalkan oleh
kumpulan tertentu dan meliputi sistem sosial, susunan organisasi ekonomi,
politik, agama, kepercayaan, adat resam, sikap dan nilai.
Dictionary
of Philosophy (1996), memberikan maksud budaya sebagai
"The way of life of people,
including their attitudes, values, beliefs, arts, sciences, modes of
perception, and habits of thought and activity.
Cultural features of forms of life are learned but are too pervasive to
be readily noticed from within"
Pengertian masyarakat pula boleh
dilihat dari berbagai-bagai sudut. Dalam
penggunaan harian, masyarakat difahamkan sebagai kelompok individu. Secara umum, masyarakat itu dapat difahamkan
sebagai satu kesatuan kelompok manusia yang mempunyai interaksi dalam sistem
hidup yang tertentu. Menurut Sabree Hussien (2009) , dalam
artikelnya yang bertajuk Konsep Masyarakat dalam Hubungan Etnik, masyarakat membawa maksud kumpulan manusia yang hidup
bersama di sesuatu tempat dengan aturan dan cara tertentu. Individu, keluarga dan kumpulan-kumpulan kecil
merupakan anggota sesebuah masyarakat.
Vatoni
LV (2012) , dalam sebuah laman sesawang ada menyatakan kebudayaan sangat erat hubungannya dengan
masyarakat. Menurutnya lagi, Melville J. Herskovits dan Bronislaw Malinowski mengemukakan bahawa
segala sesuatu yang terdapat dalam masyarakat ditentukan oleh kebudayaan yang
dimiliki oleh masyarakat itu sendiri. Menurut
Edward Burnett Tylor,
kebudayaan merupakan keseluruhan yang kompleks, yang di dalamnya terkandung
pengetahuan, kepercayaan, kesenian, moral, hukum, adat istiadat, dan
kemampuan-kemampuan lain yang didapat seseorang sebagai anggota masyarakat.
2.1 Konsep Budaya, Masyarakat, Kebudayaan
Melayu Dari Sudut Politik.
Dalam
satu laman sesawang yang ditulis oleh Arif Hertanto, belia telah menulis
pendapat-pendapat daripada beberapa orang tokoh tentang definisi budaya
politik. Menurut Almond dan Verba, budaya dari sudut
politik merupakan sikap orientasi yang khas dari warga Negara terhadap sistem
politik. Manakala, Samuel Beer pula
mentafsirkan budaya dari sudut politik sebagai nilai-nilai keyakinan dan
sikap-sikap emosi tentang bagaimana pemerintahan seharusnya dilaksanakan dan
tentang apa yang harus dilaksanakan oleh pemerintah. Rusardi Kantaprawira pula mendefinisikan
budaya politik sebagai persepsi manusia, pola sikapnya terhadap berbagai-bagai
masalah politik dan peristiwa politik ke dalam pembentukan struktur dan proses
kegiatan politik masyarakat mahupun pemerintahan.
Di
Malaysia, budaya dari aspek politik dapat dilihat dari aspek pemerintahan dan
pentadbiran yang dijalankan di Negara ini.
Di Negara kita dapat lihat kepelbagaian politik di Negara ini yang
merangkumi pelbagai kaum. Pluralisme
masyarakat di Malaysia menjadikan Negara ini mempunyai pelbagai bentuk dan
corak acuan parti politik yang dipimpin mengikut pelbagai kaum. Namun hal ini masih di dalam kawalan kerana
masyarakat di Malaysia masih mempunya nilai-nilai patriotisme, hormat
menghormati, serta menghargai antara satu sama lain. Namun begitu, pengaruh penjajah sebelum ini
telah menhyebabkan kita mengamalkan pemerintahan dan pentadbiran
demokrasi.
2.2 Konsep Budaya, Masyarakat, Kebudayaan
Melayu Dari Sudut Sosial.
Dalam kebudayaan melayu, terdapat
pelbagai aspek yang boleh dikaitkan dengan sudut sosial. Antaranya ialah agama dan kepercayaan. Orang
Melayu hampir seluruhnya beragama Islam.
Namun demikian, sisa-sisa unsur agama Hindu dan animisme masih dapat
dilihat dalam sistem kepercayaan mereka. Islam tidak dapat menghapuskan seluruh
unsur kepercayaan tersebut. Selain itu,
sudut sosial dalam kebudayaan melayu juga dapat dilihat dalam amalan adat istiadat.
Adat istiadat Melayu banyak memperlihatkan campuran unsur tempatan
dan unsur pengaruh luar selaras dengan kedatangan pengaruh Hindu, Islam, dan
Barat ke Alam Melayu.
Dalam pemerintahan Malaysia,
unsur-unsur adat yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam dibenarkan. Melalui “principle of co-existence” ini orang
Melayu dapat menyesuaikan adat dan agama secara harmonis, walaupun ada
aspek-aspek tertentu yang bertentangan tapi terus diamalkan. Sistem
kekeluargaan dan perkawinan juga boleh dikategorikan dalam aspek sosial bagi
kebudayaan melayu. Dari segi
kekeluargaan, masyarakat Melayu dibagikan kepada dua kelompok. Kelompok pertama
ialah kelompok yang mengamalkan sistem kekeluargaan dwisisi (bilateral) dan
kelompok kedua ialah kelompok yang mengamalkan sistem kekeluargaan nasab ibu
(matrilineal system). Tetapi disebabkan
kedua-dua kelompok tersebut menganut agama Islam, maka sistem kekeluargaan
Melayu itu banyak dipengaruhi oleh sistem kekeluargaan Islam.
Seterusnya, kebudayaan melayu juga
boleh dilihat dari sudut kesenian. Dalam masyarakat Melayu seni dapat
dibahagikan kepada beberapa aspek iaitu seni persembahan seperti tarian,
nyanyian, persembahan pentas seperti makyong, wayang kulit, ghazal, hadrah, dan
kuda kepang serta seni tampak seperti seni ukir, seni bina, seni hias,
pertukangan tangan, tenunan, anyaman dan lain-lain. Permainan tradisi seperti gasing, wau,
congkak, juga termasuk dalam kategori seni persembahan. Kegiatan seni Melayu
mempunyai identiti tersendiri yang juga memperlihatkan gabungan berbaga-bagai
unsur tempatan dan luar.
2.3 Konsep Budaya, Masyarakat, Kebudayaan
Melayu Dari Sudut Ekonomi.
Ekonomi adalah satu bidang ilmu sains sosial
yang mengkaji tentang individu dan masyarakat dalam membuat pilihan yang cekap
bagi menggunakan sumber ekonomi yang terhad seperti tanah, buruh, modal dan
usahawan dengan kehendak manusia yang tidak terhad.
Di Malaysia, sistem ekonominya
terbahagi kepada dua iaitu sistem ekonomi kapitalis dan sistem ekonomi Islam.
Sistem ekonomi Islam mula diperkenalkan secara menyeluruh pada tahun 1983
dengan penubuhan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB). Kini sistem ekonomi yang
berteraskan Islam ini mula mendapat perhatian masyarakat, pelbagai produk
kewangan telah diperkenalkan antaranya ialah takaful, al-Wadiah, Mudharabah dan
ar-Rahnu.
Budaya malayu
dari sudut ekonomi di Malaysia boleh dilihat berdasarkan aktiviti yang
dijalankan masyarakat melayu di Negara ini.
Bagi orang Melayu yang tinggal di
desa, majoritinya menjalankan aktiviti pertanian dan menangkap ikan. Aktiviti pertanian termasuk mengusahakan
tanaman padi, kelapa sawit, kelapa, dan tanaman campuran. Orang Melayu yang tinggal di kota
kebanyakannya bekerja di sektor perindustrian, perdagangan, pengangkutan, dan lain-lain.
Penguasaan ekonomi dalam kalangan orang Melayu secara keseluruhannya masih
rendah dibandingkan dengan penguasaan ekonomi oleh penduduk bukan melayu,
terutamanya orang Cina. Tetapi kini
telah ramai orang Melayu yang telah berjaya dalam bidang perniagaan dan menjadi
ahli korporat. Ramai yang tinggal di
bandar-bandar besar dan mampu memiliki kereta mewah dan rumah banglo. Selain
itu juga, ramai orang Melayu yang mempunyai pendidikan yang tinggi, sama ada
universiti di dalam mahu pun di luar negara.
3.0 Cabaran dan Ancaman dalam Melestarikan
Kebudayaan Melayu.
Abad ini, dunia menghadapi gelombang
kepesatan perkembangan budaya yang dibawa bersama dalam proses globalisasi yang
semakin meningkat. Gelombang ini melanda masyarakat di peringkat global
terutama berikutan dengan pesatnya pembangunan teknologi. Di Malaysia,
gelombang ini turut berkembang pesat sehingga masyarakat di Negara ini semakin
maju bersama arus kemodenan.
"Sesungguhnyalah,
budaya Melayu hari ini menghadapi pelbagai cabaran dan ancaman pada zaman
global yang begitu pesat bergelora akibat pengaruh kuat media massa, akibat
serangan hebat budaya moden asing dalam segala bidang termasuk seni budaya,
perilaku manusia, bahasa dan lain-lain.”
Puan Azah Aziz, Tokoh Budaya.
(2007).
Menurut Ahmad Azizi (2010) di dalam
penulisannya di laman sebuah laman sesawang
gelombang kepesatan perkembangan budaya ini juga dapat dikenali sebagai
fenomena budaya popular. Menurutnya
lagi, fenomena budaya popular yang berkembang secara global itu didapati
memainkan peranan yang semakin penting bukan sahaja dari segi pengaruh budaya,
malahan menjadi sebahagian penting dalam kehidupan masyarakat moden kini. Fenomena
ini yang dikatakan dapat mempengaruhi pembinaan peradaban manusia tidak dapat
dinafikan. Secara sedar atau tidak, sebenarnya gelombang kepesatan perkembangan
budaya ini telah menjadi cabaran dan ancaman dalam melestarikan kebudayaan
melayu.
Secara khususnya, boleh disimpulkan
bahawa kepesatan fenomena budaya popular ini telah menjadi cabaran dan ancaman
yang paling hebat dalam melestarikan kebudayaan melayu yang semakin lama
semakin dilupakan oleh masyarakat hari ini. Fenomena ini telah mempengaruhi
banyak aspek dalam kebudayaan melayu terutamanya dari sudut, ekonomi, sosial,
serta kesenian dan kesusasteraan.
‘Sikap orang Melayu
yang ghairah meniru dan mudah terpengaruh mencelarukan lagi suasana.”
Puan Azah Aziz, Tokoh Budaya.
(2007).
Pertanyaan oleh Tokoh Budaya 2007
ini membuktikkan bahawa sikap orang Melayu sendiri yang terikut-ikut dengan
pengaruh budaya asing sebenarnya punca utama kebudayaan melayu sukar untuk
dilestarikan.
3.1 Cabaran
dan Ancaman dalam Melestarikan Kebudayaan Melayu dari Aspek Ekonomi
Secara
sedar atau tidak, pembangunan ekonomi banyak memberi cabaran dan ancaman dalam
melestarikan kebudayaan melayu. Hal ini demikian kerana, terdapat begitu banyak
cabang ekonomi yang telah dikembangkan di Malaysia yang pada dasarnya dibawa
masuk dari negara-negara luar terutamanya Negara barat seperti Amerika Syarikat
serta negara-negara asia seperti Korea dan China untuk tujuan mengikut ‘trend’
masa kini. Tetapi hakikatnya, ‘trend’
tersebut sebenarnya telah menghakis sedikit demi sedikit budaya melayu yang ada
dalam masyarakat di Malaysia ini.
Dalam masyarakat moden kini, kita
dapati keperluan-keperluan asas semakin bertambah bergantung kepada kemajuan
yang dicapai oleh masyarakat. Misalnya,
pakaian sebagai keperluan asas. Pada
hari ini, orang ramai yang memilih pakaian mereka, tidak lagi menitikberatkan
tentang keperluan asas sebagaimana konsep yang terbina masa lalu iaitu pakaian
yang sopan atau secara khususnya menutup aurat. Tetapi kini orang ramai berusaha
mendapatkan pakaian yang lebih menekankan kepada fesyen, mutu dan kecantikan.
Pengaruh-pengaruh dari barat dan
Korea terutamanya menjadi kegilaan dalam fesyen masyarakat melayu hari
ini. Jika dibandingkan dengan pemakaian
dalam budaya melayu, hal ini sebenarnya telah banyak terpesong dari cara orang
melayu berpakaian. Oleh sebab citarasa masyarakat pada hari ini lebih
mementingkan fesyen yang terikut-ikut dengan fesyen dari barat dan Korea, hal
ini telah menyebabkan pengusaha-pengusaha kedai mahupun butik pakaian yang
menjual pakaian yang mengikut ‘trend’ ini semakin banyak seperti cendawan yang
tumbuh selepa hujan. Oleh hal yang demikian, budaya pemakaian masyarakat melayu
yang dahulunya lebih menkenakan kesopanan sedikit sebanyak akan terhapus akibat
pembangunan ekonomi yang tercetus akibat citarasa masyarakat melayu itu
sendiri.
Di samping itu, pengamalan sistem
ekonomi secara kapitalis yang menjadikan faedah atau riba sebagai asasnya juga
menjadi satu cabaran dan ancaman dalam melestarikan budaya melayu.
“Aliran-aliran
yang ingin melemahkan pengaruh nilai-nilai budaya, agama dan moral tempatan itu
dibawa masuk oleh unsur-unsur ekonomi kapitalistik tempatan atau antarabangsa
yang mementingkan keuntungan kewangan semata-mata tanpa mempedulikan isu
tanggungjawab sosial atau moral.”
Tan Sri Prof. Dr. Mohd. Kamal Bin Hassan,
Panel Pemikir Islam Hadhari.
Berdasarkan kata-kata Tan Sri Prof.
Dr. Mohd. Kamal Bin Hassan, Panel Pemikir Islam Hadhari di dalam satu laman
sesawang, ini membuktikan bahawa pengaruh ekonomi kapitalis yang dibawa masuk
oleh penjajah pada suatu masa dahulu sedikit sebanyak mempengaruhi perubahan
cara kebudayaan melayu terutama dalam aspek ekonomi. Jika pada dahulunya, masyarakat melayu lebih
ditekankan dengan sistem perniagaan yang lebih telus contohnya sistem barter
yang menggalakkan sistem tukar barang suka sama suka dan biasanya barang
tersebut mempunyai nilai yang hamper sama, tetapi kini ekonomi yang dijalankan lebih dipengaruhi
oleh sistem ekonomi luar, ekonomi yang menekankan faedah ini diberi
keutamaan.
Contohnya dalam berhutang,
penghutang dikenakan faedah sebanyak beberapa peratus dari jumlah yang
dipinjam. Ini sebenarnya menindas penghutang dengan faedah yang dikenakan. Walhal
dalam Islam, berhutang bukanlah
bertujuan untuk mengambil keuntungan, tetapi untuk menghulurkan bantuan kepada
yang memerlukan semata-mata. Sebenarnya,
sistem ekonomi yang diperkenalkan oleh barat ini telah banyak menghapuskan
norma-norma Islamik dalam masyarakat melayu sehingga hari ini. Namun, sekarang masyarakat melayu sudah
mempunyai pilihan untuk berurusan secara Islamik ataupun bukan. Hal ini kerana,
kerajaan telah mula memperkenalkan sistem urusniaga secara Islamik yang
berlandaskan syariat-syariat Islam.
3.2 Cabaran
dan Ancaman dalam Melestarikan Kebudayaan Melayu dari Aspek Sosial
Secara
keseluruhannya, cabaran dan ancaman dalam melestarikan kebudayaan melayu dapat
dilihat dengan jelasnya dari aspek sosial. Antara cabaran dan ancaman sosial
yang menyebabkan kebudayaan melayu sukar untuk dilestarikan adalah dalam
pengamalan adat istiadat dan kepercayaan masyarakat melayu kini, pendidikan,
dan sisitem kekeluargaan pada hari ini.
3.2.1 Adat Istiadat dan Kepercayaan
Masyarakat hari ini lebih
terpengaruh kepada cara berfikir yang dianggap moden iaitu berfikiran
terbuka. Pemikiran yang terbuka ini dapat
kita lihat dalam kepercayaan masyarakat kita terhadap perkara-perkara yang
digelar pantang larang, petua dan lain-lain. Kebiasaannya, pantang larang dianggap sebagai
sesuatu hukum dalam masyarakat Melayu yang wajib dipatuhi dan akan
mengakibatkan kesan yang tidak diingini oleh seseorang sekiranya melanggar
pantang larang itu. Cara berfikir
seperti ini sudah mula berubah sejak kedatangan barat dan menganggap
perkara-perkara ini lebih kepada karut. Masyarakat hari ini, terutamanya golongan
belia sudah tidak mahu mengikut adat atau kepercayaan yang diamalkan oleh
masyarakat melayu sejak zaman dahulu kerana dianggap akan dipandang kolot oleh
rakan-rakan sebaya mereka.
3.3.2 Pendidikan
Pada hari ini, pendidikan adalah satu perkara yang paling
diutamakan oleh semua individu kerana tanpa pendidikan seseorang sukar untuk
menonjolkan diri dalam kehidupan sebenar dan mungkin sukar untuk menyara
kehidupannya sendiri. Oleh itu,
masyarakat hari ini bertungkus lumus mencari pendidikan yang sempurna untuk
tujuan tersebut. Namun begitu, tanpa
kita sedar, sebenarnya masyarakat hari ini kurang menekankan pendidikan yang
memfokuskan terhadpa kebudayaan melayu.
Hal ini sedikit sebanyak dapat menenggelamkan kebudayaan melayu yang
semakin hari semakin kurang difahami dan dikenali oleh golongan muda pada hari
ini terutamanya.
“Kecenderungan
pusat-pusat pengajian tinggi untuk memberi keutamaan kepada kursus-kursus ilmu
pengurusan dan teknik dengan mengabaikan kursus-kursus ilmu kemanusiaan dan
kemasyarakat.”
Chandra Muzaffar.
Menurut
Chandra Muzaffar, institut pengajian tinggi pada masa kini lebih cenderung
untuk memberi keutamaan kepada kursus-kursus ilmu pengurusan dan teknik
berbanding kursus-kursus ilmu kemanusiaan dan kemasyarakat. Justeru, tidak
hairanlah pada hari ini golongan belia lebih fokus untuk mengejar karier mereka
berbanding memilih jurusan yang berkaitan tentang kemanusiaan dan
kemasyarakat. Hal ini sedikit sebanyak
menyebabkan golongan yang lemah dalam pelajaran tidak mendapat peluang untuk
menuruskan pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi kerana tiadanya
kursus yang menekankan tentang ilmu kemanusiaan dan kemasyarakat. Sebenarnya, jika kursus sebegini
diperkenalkan, sudah pasti Negara dapat melahirkan golongan belia yang mahir
tentang kebudayaan melayu sekali gus dapat memperkembangkan budaya melayu pada
generasi yang berikutnya. Jika hal ini
berlaku, kita boleh menarik nafas lega jika suatu hari nanti kita kehilangan
golongan yang telah banyak mempertahankan budaya melayu di Negara ini.
Selain daripada itu, pendidikan
daripada teknologi juga adalah satu sumber pendidikan yang tidak kurang
pentingnya kepada masyarakat pada hari ini.
Internet, umpamanya, membolehkan penggunanya menimba segala jenis ilmu
pengetahuan dan maklumat dengan mudah, tetapi pada masa yang sama ia
mengandungi banyak sekali maklumat yang bersifat destruktif, tidak bermoral dan
bertentangan dengan nilai-nilai budaya dan etika umat beragama. Pendedahan kanak-kanak, golongan remaja dan
orang dewasa kepada bahan-bahan yang bersifat erotik dan lucah di dalamnya
boleh menimbulkan sindrom ketagihan yang bakal merosakkan peribadi dan moral
para penagihnya. Begitu mudah dan cepat sekali bahan pornografi atau
laman “adult” berada di depan mata untuk menggugat iman seseorang pengguna
hanya dengan beberapa taipan kata kunci pada papan kekunci lalu diklik pada
tetikus untuk melakukan “dosa di hujung jari”.
“Baru-baru ini masyarakat Malaysia
dikejutkan dengan penemuan Badan Bertindak Kesedaran Penderaan Seksual
Kanak-Kanak betapa kanak-kanak dengan mudah terdedah kepada 1.5 juta laman web
lucah. Di samping itu kita diberitahu bahawa wujud 33 juta laman
pornografi yang dikunjungi setiap hari oleh pengguna Internet seluruh dunia.”
Abd. Basit Bin Samat dan
Mohd Rajiee Bin Idris, Fakulti Pendidikan Sains Sukan Universiti Teknologi
Malaysia.
Berdasarkan
bukti yang dinyatakan oleh Abd. Basit bin Samat dan Mohd Rajiee bin Idris, jelaslah bahawa pendidikan juga dapat menjadi
ancaman dan cabaran dalam melestarikan kebudayan Melayu jika masyarakat hari
ini tidak bijak menggunakannya.
Pendidikan yang sebenarnya sangat bernilai kepada individu akan menjadi
satu titik hitam yang paling hebat jika kita tidak pandai mengaplikasikannya
dalam kehidupan seharian.
3.2.3 Institusi Kekeluargaan
Budaya Melayu sangat mementingkan
institusi kekeluargaan. Sejak dahulu lagi, orang melayu sangat menjaga perkara
ini sehinggakan ada yang meletakkan institusi kekeluargaan adalah sesuatu yang
bernilai dalam kehidupan. Oleh hal yang
demikian, sangat sinonim dengan orang melayu jika disebutkan setiap individu perlu
menjaga maruah keluarga daripada tercemar.
Hal ini sebenarnya sedikit sebanyak menyebabkan masyarakat melayu
berusaha untuk menjada nama baik keluarga masing-masing agar tidak tercemar
dengan gejala sosial yang negatif. Namun
begitu, sejak akhir-akhir ini, Negara sering dihujani dengan berita negatif
tentang isu pembuangan bayi dan seumpanya dengannya. Hal ini sebenarnya terjadi akibat pengaruh
kuat daripada barat yang telah banyak mengubah sistem institusi kekeluargaan di
negara mereka. Beberapa bulan yang lalu,
barat mula menggantikan institusi kekeluargaan dan mengiktiraf bersekedudukan
tanpa nikah, pasangan sejenis, keibubapaan tunggal, kehidupan berkelompok, dan
didikan anak secara professional. Perkara ini tidak sesuai sama sekali
dengan masyarakat melayu yang rata-rata beragama Islam di Malaysia.
Walaupun perkara ini masih belum
berleluasa di Malaysia, namun masyarakat sudah mula terdedah dengan perkara
yang tidak sewajarnya berlaku di dunia ini. Hal ini sedikit sebanyak menyebabkan perkara
yang berlaku di barat ini telah melanda masyarakat Melayu seperti pengguguran,
kehamilan luar nikah dan pembuangan bayi. Namun, perkara yang membimbangkan adalah kesan
pengaruh ini terhadap masyarakat kita seperti kemerosotan nilai-nilai kekeluargaan dalam
kalangan generasi muda. Jika perkara ini
terus menjadi barah dalam masyakat melayu hari ini, kebudayaan melayu yang pada
asalnya dikenali sebagai masyarakat yang bersopan santun serta bermaruah tinggi
akan dipandang serong.
3.3 Cabaran
dan Ancaman dalam Melestarikan Kebudayaan Melayu dari Aspek Kesenian dan
Kesusasteraan
Selain
politik dan sosial, kesenian dan kesusateraan juga aspek yang penting yang
perlu dititikberatkan dalam melestarikan kebudayaan melayu. Di Malaysia, antara
ancaman dan cabaran yang dilihat menyukarkan kelestarian kebudayaan melayu
adalah seperti bahasa melayu yang semakin kurang ditekankan dalam penggunaan
seharian selain daripada tarian dan nyanyian, serta seni bina dan reka bentuk.
3.3.1 Bahasa
“Sekiranya kita setuju dengan frasa ‘bahasa
melambangkan bangsa’ kita pasti peka dengan peri pentingnya memartabatkan
bahasa Melayu selaku bahasa yang telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan.”
Fudzail, Pelita Bahasa (2/99).
Pernyataan
di atas membuktikan bahawa bahasa adalah perkara yang paling utama dalam
memartabatkan bangsa melayu. Sekiranya
bangsa melayu dapat dimartabatkan, sekali gus secara tidak langsung budaya
melayu dapat dikekalkan dan diperkukuhkan.
Di Malaysia, penggunaan bahasa Melayu masih digunapakai oleh masyarakat
di Negara ini namun penggunaanya tidaklah seperti mana masyarakat melayu pada
suatu masa dahulu menggunakannya. Hal ini disebabkan oleh wujudnya 'trend' penggunaan bahasa yang
seolah-olah berasaskan 'stratifikasi sosial' di mana bahasa melayu seolah-olah
digunakan oleh kelompok berpendidikan rendah dan rakyat biasa, manakala
kelompok atasan, elit, profesional, komuniti korporat dan mereka yang
berpendidikan tinggi dari luar negara lebih mesra menggunakan bahasa Inggeris.
Hal ini
menyebabkan masyarakat terikut-ikut dengan gaya percakapan orang barat sehingga
melupakan budaya melayu yang sering menggunakan bahasa yang lembut dan suka
berkias. Jika kita dengar percakapan
remaja hari ini sangat merisaukan kerana mereka banyak menggunakan
bahasa-bahasa yang kasar sehingga mungkin menyebabkan budaya luar yang
mendengarnya memandang serong terhadap budaya melayu yang pada asalnya dikenali
dengan budaya yang baik serta sopan percakapannya. Masyarakat hari ini lebih gemar menggunakan
bahasa rojak yakni mencampuradukkan bahasa melayu dengan bahasa inggeris
sehingga memeningkan golongan yang baru mempelajari bahasa Melayu untuk
memahaminya.
3.3.2 Tarian dan Nyanyian
Selain daripada bahasa, tarian
dan nyanyian juga satu aspek lain yang
menjadi ancaman dan cabaran dalam sudut kesenian yang telah menyukarkan
kebudayaan melayu untuk dilestarikan.
Hal ini demikian kerana, fenomena budaya popular yang telah mempengaruhi
masyarakat melayu hari ini membawa kesan kepada kelemahan kedudukan budaya
Melayu tradisional. Minat orang ramai, terutama golongan muda terhadap warisan
tradisi itu semakin berkurang. Seni
hiburan barat ini menjadi ikutan negara lain termasuklah Malaysia. Ini telah
menyebabkan seni tradisional sudah mula dipinggirkan sehingga ke hari ini.
Pada hari ini, Malaysia mula
diperkenalkan dengan aliran-aliran muzik barat yang pelbagai. Antaranya kumpulan-kumpulan
artis yang beraliran rock, balada, pop, jazz, dan lain-lain. Setiap
aliran ini mempunyai identiti dan imej yang tersendiri. Contohnya, imej penyanyi rock dan jazz adalah
berbeza sama sekali. Imej pemuzik aliran
pop juga berbeza dengan aliran rap. Melalui kepelbagaian imej yang dibawa oleh
mereka, ini telah mendatangkan kesan buruk kepada imej tradisi kita kerana
perkara-perkara yang dibawa barat ini sebenar sangat mudah mempengaruhi
masyarakat melayu termasuk di Malaysia.
“Penyebaran budaya pop Amerika yang
“menyegarkan pancaindera dan mematikan roh”.”
Chandra Muzaffar.
Berdasarkan
pernyataan Chandra Muzaffar, jelas sekali bahawa budaya pop yang dibawa oleh
pengaruh barat dapat menyebabkan budaya melayu akan terus lenyap kerana
identiti serta imej yang bertentangan dengan budaya melayu itu sendiri. Sebagai contoh, pemuzik ‘rock’ biasanya akan
mengekalkan imej ‘rockers’ yang menggunakan seluar ‘jeans’ yang koyak, berambut
panjang dan selekeh bagi lelaki. Jika
dibandingkan dengan budaya melayu, hal ini sebenarnya bercanggahan sama sekali
kerana budaya melayu banyak mengikut cirri-ciri islam yakni lebih sopan dan
bersih.
Sejak beberapa bulan yang lalu,
dunia digemparkan dengan tarian ‘Oppa Gangnam Style’ yang dipopularkan oleh
sebuah kumpulan dari Korea. Tarian ini telah menyebabkan seluruh dunia
termasuklah Malaysia terikut-ikut dengan tarian tersebut. Tarian yang dikatakan
mempunyai unsur-unsur negatif seperti unsur lucah menyebabkan tarian ini tidak
sepatutnya menjadi kegilaan masyarakat melayu.
Galakan dari pihak kerajaan dengan membawa masuk tarian ini ke dalam
Negara seolah-olah mengenenggahkan budaya asing yang bukan mengikut norma-norma
budaya melayu. Bukan itu sahaja, Negara
juga banyak membenarkan artis-artis dari luar Negara masuk ke Negara ini
membuat persembahan tanpa menapis terlebih dahulu corak persembahan yang bakal
dipersembahkan. Hal ini juga menjadi
salah satu punca utama masyarakat hari ini terikut-ikut dengan budaya luar dan
tidak lagi mencuba untuk mempelajari tarian dan nyanyian dalam kebudayaan
melayu seperti zapin, inang, dan mak yong yang mempunyai nilai budaya yang
sangat tinggi.
3.3.3 Seni Bina dan Seni Reka Bentuk
Seni
reka bentuk pula, boleh dilihat dari bangunan-bangunan yang dibina dengan
rekabentuk yang dianggap moden oleh orang ramai. Contohnya, Menara Berkembar Petronas contohnya, dibina dengan
berkonsepkan silinder yang diideakan oleh barat. Selain
itu, sesetengah reka bentuk binaan bangunan-bangunan yang terdapat di tempat
kita ini juga adalah sebagai bukti pengaruh barat terhadap kita. Binaan
bersenikan kebaratan boleh dilihat pada bangunan-bangunan baharu yang dibina
dengan berkonsepkan kemodenan. Selain
itu, di Bandar Sunway contohnya terdapat bangunan yang berbentuk piramid yang
menyerupai dengan unsur-unsur dari Negara Arab sudah lari daripada keseniaan
melayu. Jika semakin banyak bangunan di Negara ini dibina mengikut corak binaan
luar, sudah pasti generasi baru dan bakal berada di bumi Malaysia ini tidak
kenal akan kekayaan seni bina dan seni reka melayu yang sebenarnya.
Sepatutnya, bagi mengekalkan
kebudayaan melayu, kita seharusnya membina bangunan dengan konsep kita
sendiri. Di Malaysia, seni bina dan seni
reka bentuk yang paling sesuai adalah yang bermotifkan flora dan fauna. Ukiran-ukiran boleh digunapakai di dalam
rekaan seni bina bangunan penting di Negara ini. Hal ini bukan sahaja dapat mengekalkan budaya
melayu dalam masyarakat hari ini malah dapat memperkenalkan seni bina dan seni
reka budaya melayu pada dunia. Secara
tidak langsung kita telah memperkenalkan budaya kita pada mata dunia.
3.4 Cabaran
dan Ancaman dalam Melestarikan Kebudayaan Melayu dari Aspek Politik
Salah satu cabaran lain dalam
pembangunan kebudayaan Negara kita ialah pendekatan politik yang berbagai-bagai
dalam menyelesaikan persoalan dasar, konsep, dan tafsiran. Menurut
A.Aziz.Deraman, dalam bukunya Asas pemikiran Kebudayaan Malaysia pada
halaman 34 dan 35, latar belakang
dukungan pemimpin yang lahir daripada pelbagai-bagai latar sosiobudaya dan
pendidikan mungkin menjadi faktor utamanhal ini terjadi. Oleh hal yang demikian, pendekatan ke arah
menyelesaikan masalah kadangkala menggunakan pendekatan perkauman atau kehendak
yang cuba mempertahankan sosiobudaya masing-masing bukannya dalam konteks
kebudayaan kebangsaan. Justeru, ini
adalah cabaran dan ancaman yang paling utama dalam melestarikan kebudayaan
melayu di Negara ini.
~harap membantu~