Wednesday, July 11, 2012

SEJARAH TULISAN JAWI- SEJARAH BAHASA MELAYU

as salam and welcome..♥


*COPY PASTE DARI INTERNET....

RUJUKAN PEMBELAJARAN BAHASA MELAYU DI OUM
BAHASA MELAYU ZAMAN ISLAM, PORTUGIS DAN INGGERIS
PENGENALAN
Perkembangan bahasa telah melalui tiga periodisasi, iaitu zaman purba, zaman kuno dan zaman klasik.  Setiap zaman tersebut mempunyai pengaruh yang kuat terhadap bentuk Bahasa Melayu. Dalam topik ini anda telah mengimbas kembali tentang jenis bahasa yang lahir dalam periodisasi tersebut. Topik ini pula akan membicarakan pengaruh luar terhadap Bahasa Melayu khususnya pengaruh bahasa dari Eropah (Portugis dan Inggeris) dan juga kesan perkembangan agama Islam yang tersebar luas di Alam Melayu melalui perdagangan saudagar dari Tanah Arab. Agama Islam telah memberikan kesan yang penting terhadap Bahasa Melayu kerana kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu diperkukuhkan oleh faktor tersebut.
BAHASA MELAYU ZAMAN KEDATANGAN ISLAM
Islam telah membawa huruf Arab dalam penulisan Bahasa Melayu dan berkembang menjadi bahasa yang kaya dengan pelbagai istilah baharu yang dipinjam daripada perbendaharaan kata Bahasa Arab dan Parsi.  Bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar dalam penulisan yang berkaitan dengan falsafah, kesusasteraan, keagamaan dan dijadikan bahasa pengantar dalam kegiatan dakwah Islam. Magellan telah mengatakan bahawa Bahasa Melayu telah menjadi bahasa lingua franca di alam Melayu dari Aceh hingga ke kepulauan Maluku. Bahasa Melayu juga telah menjadi baku melalui penggunaannya dalam kitab-kitab agama Islam yang dibaca oleh penduduk di alam Melayu. 

Pada zaman kedatangan Islam juga, Bahasa Melayu telah berkembang dalam pelbagai bidang yang sebelum ini ditulis dalam bahasa Jawa. Melalui peminjaman daripada Bahasa Arab, banyak istilah bidang teologi, falsafah dan tasawuf dikembangkan dalam Bahasa Melayu. Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi dalam kerajaan-kerajaan di alam Melayu.  Surat-surat raja Melayu pada abad ke-16 ditulis dalam Bahasa Melayu kepada Raja Portugis. Dengan demikian raja-raja daripada kerajaan Aceh juga menggunakan Bahasa Melayu dalam urusan diplomatik untuk berhubung dengan kerajaan asing. 

Kedatangan Islam pada akhir abad ke-13 telah mempengaruhi keseluruhan cara hidup masyarakat di Asia Tenggara khususnya alam Melayu. Zaman ini telah  memberikan ciri baru kepada Bahasa Melayu, iaitu bentuk Bahasa Melayu Klasik. Pengaruh agama Islam bukan sahaja kelihatan dari aspek sosio budaya malah seluruh kehidupan termasuklah unsur budaya yang penting, iaitu bahasa.

Abad ke-13 hingga abad ke-14 merupakan zaman peralihan di alam Melayu. Apabila kita memperkatakan tentang pengaruh Islam terhadap Bahasa Melayu, terdapat tiga buah kerajaan Islam yang penting: kerajaan Samudera-Pasai,  kerajaan kesultanan Melaka dan kerajaan Islam Aceh. 
Kerajaan Samudera-Pasai
Menurut Amat Juhari Moain (1994), apabila kerajaan Samudera-Pasai didirikan di Sumatera Utara, pengembangan Bahasa Melayu semakin aktif. Kerajaan Samudera Pasai (Rajah 2.1) dikenali juga sebagai Samudera, Pasai dan Samudera Darussalam atau Sumatera. Kerajaan ini terletak di Aceh dan merupakan kerajaan Islam pertama di Indonesia. Perkataan "Samudera" berasal daripada perkataan Sanskrit, iaitu Samundra atau Samandara, yang membawa pengertian "lautan". Menurut Hikayat Raja-raja Pasai, Merah Silu dikatakan ternampak seekor semut sebesar kucing. Baginda menangkap dan memakannya lalu menamai tempat itu sebagai "Samandara".  Kesultanan Samudera Pasai adalah kerajaan Islam yang terletak di pesisir pantai utara Sumatera, kurang lebih di sekitar Kota Lhokseumawe, Aceh Utara sekarang. Kerajaan ini didirikan oleh Merah Silu, yang bergelar Malik al-Saleh, pada sekitar tahun 1267 dan berakhir dengan dikuasai oleh Portugis pada tahun 1521. Nama lainnya ialah Malik al Salih, Merah Silu, Merah Silau, Mara Silu dan Muerah Silu. Setelah mangkat, baginda digantikan oleh Sultan Mahmud Malik Az-Zahir.


Rajah 2.1: Kedudukan kerajaan Samudera Pasai.
Sumber: http://images.google.com/imgres? Dipetik pada 15 Julai 2008.
Ahli Pelayaran Maghribi bernama Ibnu Batuta sempat mengunjungi Pasai pada 1346 Masihi. Ketika di China, Ibnu Batuta mendapati kapal Pasai berlabuh di China untuk membayar ufti. Inskripsi Cina mencatatkan kerajaan Pasai menghantar ufti ke China setiap tahun. Sultan Pasai dikatakan pernah mengirim utusan ke Quilon, benua kecil India (Keling) pada 1282 kerana urusan diplomasi dan perdagangan. 

Pada zaman kegemilangannya, kerajaan Pasai merupakan pusat perdagangan yang dikunjungi oleh pedagang daripada pelbagai negeri seperti China, India, Arab, Siam, Parsi dan lain-lain. Kerajaan ini juga menggunakan mata wang yang dinamakan dirham. Banyak karya sastera Melayu telah dilahirkan misalnya Hikayat Raja-Raja Pasai. Zaman ini diikuti pula oleh perkembangan zaman Melaka. Tokoh-tokoh tempatan juga tidak ketinggalan memberikan sumbangan. Kebanyakan usaha mereka berkisar tentang agama dan sastera.
Pada zaman ini juga, banyak karya telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu. Golongan cendekia Pasai menjadi pakar rujuk dalam bidang keagamaan.  Abad ke-13 juga merupakan permulaan Bahasa Melayu Klasik yang berkembang sewaktu zaman pemerintahan kerajaan Melayu Pasai. Bahasa Melayu Klasik merupakan kesan langsung pengaruh agama Islam yang berkembang dengan  pesat bertunjangkan tulisan Jawi yang menggunakan aksara Arab. Ragam bahasa persuratan inilah yang menjadi bukti wujudnya Bahasa Melayu Klasik. Tradisi persuratan Melayu Klasik juga merupakan asas kepada kemunculan Bahasa Melayu baku khususnya dari segi tatabahasa yang lahir dalam penulisan klasik sebagai sumber korpus data. 
Hikayat Raja-Raja Pasai dianggap hasil kesusasteraan Melayu, mengisahkan masyarakat Melayu dan menggunakan Bahasa Melayu (tulisan Jawi). Namun demikian, tidak dapat dipastikan tarikh awal hikayat ini ditulis kerana pada masa itu tradisi menceritakan semula cerita orang lain (seperti yang dilakukan pada cerita lisan) berlaku dan dianggap sebagai sesuatu yang wajar. Perhatikan bahagian awal petikan Hikayat Raja-Raja Pasai yang berikut ini:
“Alkisah peri mengatakan cerita raja yang pertama masuk agama Islam ini Pasai; maka adalah diceriterakan oleh orang yang empunya cerita ini, negeri yang di bawah angin ini, Pasailah yang pertama membawa iman akan Allah dan akan Rasulullah. Maka ada raja dua bersaudara seorang namanya Raja Ahmad dan seorang namanya Raja Muhammad. Adapun yang tua Raja Ahmad. Maka baginda kedua bersaudara itu hendak berbuat negeri di Samarlanga. “

Teks ini ditulis dalam Bahasa Melayu menggunakan tulisan tangan huruf Jawi pada lembaran-lembaran berbentuk buku. Penyelidik menyatakan teks asal ditulis sekitar 1360 Masihi kerana sezaman dengan buku tasauf Durru al Mazlum /Darul Mazlum karya Maulana Abu Ishak. Hikayat Raja-Raja Pasai terbahagi kepada tiga bahagian: Pembukaan dan Pengislaman Pasai, Pasai di bawah pemerintahan Sultan Ahmad Perumudal Perumal dan Peluasan Kekuasaan Majapahit. Hikayat Raja-Raja Pasai tergolong dalam genre sastera sejarah. Karya sastera sejarah biasanya menceritakan pembukaan negeri, corak organisasi pentadbiran, keadaan sosial budaya dan corak politiknya. Cerita ini termasuklah kewujudan sesebuah negeri, perkembangannya, zaman keemasan, zaman kekalahan dan keruntuhan. Oleh itu, Hikayat Raja-Raja Pasai bukanlah sebuah buku teks sejarah yang murni. Sebaliknya, unsur mitos dan legenda diterapkan dalam bahan sejarah yang memerlukan interpretasi yang mendalam untuk mengetahui objektif dan tujuan pengarang istana ini.

R.O. Winstedt menjangka Hikayat Raja-Raja Pasai selesai ditulis pada abad ke-15, Amin Sweeney berpendapat abad ke-14, dan A.H. Hill mengatakan antara tahun 1383 M hingga 1390 M manakala Hooykaas mendakwa bahawa Hikayat ini dikarang sekitar tahun 1350 M. Pada bahagian akhir Hikayat Raja-Raja Pasai yang diusahakan oleh R. Jones (1987) tercatat:
Tamat Hikayat Raja Pasai. Selamat sempurna yang membaca dia dan segala yang menengarkan dia, istimewa yang menyuratkan dia, dipeliharakan Allah subhanahu wataala apalah kiranya dari dunia datang ke akhirat, berkat syafaat Nabi Muhammad mustafa, sallallahu alaihi wasaalam.
Tamat hari Isnin, kepada hari
dua puluh sa, kepada bulan
Muharam, sanat za
Hijratul Nabi
1230
Sangking Kyai Suradimanggala, bupati sapu (pu) nagari Demak nagari Bagor, warsa 1742.
Tarikh yang tercatat pada bahagian akhir Hikayat Raja Pasai ini bukanlah bermakna penulisan pertama cerita tersebut, melainkan merupakan salinan daripada beberapa salinan cerita yang terdahulu. Penyalinan ini juga memperlihatkan bahawa ketika itu kesusasteraan Melayu tersebar luas di seluruh Nusantara. Karya ini merupakan bukti terbaik bagi mengkaji perkembangan Bahasa Melayu pada zaman kerajaan Aceh.
Kerajaan Kesultanan Melaka
Zaman penting bagi Bahasa Melayu ialah pada zaman Kerajaan Melayu Melaka. Zaman ini bermula pada abad ke-13.  Kesultanan Melayu Melaka (Rajah 2.2) diasaskan oleh Parameswara, seorang putera Srivijaya beragama Hindu yang berasal dari Palembang antara tahun 1400 hingga tahun 1403. Pada awalnya Melaka bukanlah sebuah kerajaan yang beragama Islam. Hal ini berubah pada tahun 1414 apabila Parameswara berkahwin dengan puteri dari Pasai. Beliau menukarkan namanya kepada Megat Iskandar Shah. Agama Islam dijadikan sebagai agama rasmi Kesultanan Melayu Melaka oleh Sultan Muzaffar Shah. 

Pemerintahannya itu berkembang dengan pesat dan menjadi sebuah pelabuhan yang terpenting di kepulauan Melayu pada abad ke-15 dan ke-16. Tambahan pula, Melaka merupakan tempat perdagangan rempah dengan berfungsi sebagai pintu kepada negeri-negeri rempah untuk memasarkan rempah mereka. Ini dapat digambarkan menerusi Duarte Barbosa yang berkata, "Sesiapa yang menguasai Melaka, dia dapat menguasai perdagangan dunia" (He who is lord of Malacca has his hand on the throat of Venice.) Faktor-fakor yang menyumbang kepada Melaka menjadi sebuah negeri yang maju adalah kerana pelabuhannya terlindung daripada ancaman Monsun Barat Daya dan Monsun Timur Laut. Pedagang-pedagang dari Jawa, Arab, India, China dan lain-lain dapat berlindung di Melaka sehinggalah keadaan selamat untuk mereka ke laut semula.
Semasa pemerintahan Parameswara, ramai orang Cina menetap di Melaka, berdekatan kawasan Bukit Cina yang mempunyai ‘feng shui’ yang terbaik pada masa itu. Pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka berterusan selama lebih kurang satu abad sehinggalah Melaka tewas di tangan penjajah Portugis pimpinan Alfonso de Albuquerque pada 24 Ogos 1511. Sultan Mahmud Shah merupakan sultan yang terakhir Kesultanan Melayu Melaka.

Islam mulai bertapak melalui kerajaan Melayu Melaka dan berjaya membina empayar yang luas; dan meningkatkan kemajuan dan perkembangan Bahasa Melayu di rantau ini. Bahasa Melayu telah digunakan dalam pentadbiran dan aktiviti perdagangan serta menjadi lingua franca para pedagang. Bahasa Melayu juga telah menjadi alat penyebaran agama Islam ke seluruh kepulauan Melayu. Bahasa Melayu juga telah mendapat bentuk tulisan baru, iaitu tulisan Jawi. Perbendaharaan kata juga telah bertambah dengan wujudnya keperluan untuk mengungkapkan idea-idea yang dibawa oleh peradaban Islam.

Iskandar Shah mangkat pada tahun 1424 dan diwarisi oleh anaknya, Sri Maharaja, yang mengambil gelaran "Sultan Muhammad Shah" (1424-1444). Pada kemangkatannya dalam tahun 1444, beliau diganti oleh putera bongsunya, Raja Ibrahim. Raja Ibrahim kemudian dibunuh dan dimakamkan dengan gelaran "Sultan Abu Syahid". Raja Kassim menaiki tahta pada tahun 1445 dan memakai gelaran "Sultan Muzaffar Shah" (1445-1459) menaiki takhta dan mengisytiharkan Islam sebagai agama rasmi negeri. Pendakwah-pendakwah Islam dihantar oleh Sultan ke seluruh Kepulauan Melayu seperti Jawa, Borneo dan Filipina. Sebahagian besar penduduk Asia Tenggara pada ketika itu beragama Hindu. Semasa pemerintahannya, pihak Siam membuat serangan pertama ke atas Melaka pada tahun 1447 tetapi ditewas tidak jauh dari Muar. Pada tahun 1456, Tun Perak menjadi bendahara dengan gelaran "Bendahara Paduka Raja". Beliau berkhidmat di bawah empat Sultan dan merupakan tulang belakang kepada perkembangan Melaka ke mercu kekuasaannya di kepulauan Melayu.

Pada tahun 1459, Sultan Mansur Shah (1459 - 1477) menaiki takhta. Disebabkan kedudukannya yang strategik, Melaka menjadi sebuah pangkalan luar yang penting bagi kapal-kapal. Bagi mengeratkan hubungan diplomatik dengan Melaka, Maharaja China telah menganugerahkan anaknya Puteri Hang Li Po dengan tujuan untuk dikahwinkan dengan Sultan Mansur Shah. Untuk menyambut Hang Li Po, Sultan Mansur Shah juga menghantar Tun Perpateh Puteh dengan segolongan pengiring ke negeri China untuk mengiringnya. Hang Li Po tiba di Melaka pada tahun 1458 bersama-sama 500 orang pengiring. Salah satu kesan kebudayaan yang berpunca daripada peristiwa ini ialah wujudnya kelompok kaum Peranakan, iaitu hasil daripada perkahwinan campur di antara pendatang Cina dengan penduduk tempatan. Kaum Peranakan ini juga dikenali sebagai orang Baba dan Nyonya pada hari ini.

Semasa pemerintahan Sultan Mansur Shah, empayar Melaka mencapai kemuncak kuasanya dan terdiri daripada Semenanjung Tanah Melayu, Singapura dan sebahagian besar Sumatera. Pesaing utama Melaka ialah Siam di utara dan Majapahit di selatan. Majapahit kemudiannya tumbang pada kurun ke-15. Siam pula telah menyerang Melaka sebanyak tiga kali tetapi kesemua cubaan serangan tersebut telah gagal.



Rajah 2.2: Kegemilangan Kesultanan Melaka
Prosa dalam Bahasa Melayu yang terkenal ialah Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu. Keagungan Kesultanan Melaka jelas tergambar di dalam Sejarah Melayu oleh Tun Seri Lanang, sebuah karya dalam Bahasa Melayu yang sangat tinggi nilainya disusun pada tahun 1612.  Prosa ini mengungkapkan beberapa genre Melayu, iaitu pantun, syair puisi, gurindam dan seloka.  Terdapat sekurang-kurangnya 29 versi tetapi versi yang paling mashyur adalah versi Shellabear. Menurut pengenalan Sejarah Melayu naskah Shellabear, Yang diPertuan Raja di Hilir Sultan Abdullah Mu'ayat Syah ibni'l Sultan Abdul Jalil Syah telah mengutuskan Seri Nara Wangsa Tun Bambang untuk memerintah Bendahara Paduka Raja Tun Muhammad@Mahmud (Tun Sri Lanang) pada hari Khamis, 12 Rabiul Awal 1021 bersamaan 13 Mei 1612 agar menyunting salinan Sejarah Melayu yang dibawa oleh Orang Kaya Sogoh dari Goa/Gowa, India. Sejarah Melayu Sulalatus Salatin dianggap penting kerana karya ini memberikan perincian tentang adat istiadat kerajaan, susunan raja Melayu dan sejarah kerajaan Melayu dan boleh dikatakan menyerupai konsep Sejarah Sahih China. Dikatakan bahawa pada setiap pertukaran dinasti di China, sejarah Dinasti sebelumnya akan ditulis dan disimpan di arkib negara tersebut. Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) merupakan satu karya sejarah mengenai kebangkitan, kegemilangan dan kejatuhan zaman Kesultanan Melayu Melaka yang ditulis oleh beberapa orang pengarang Melayu. Ketika Feringgi (Portugis) menakluk Melaka, salinan Sejarah Melayu telah dibawa ke Goa.

Rajah 2.3: Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) Penulis: A. Samad Ahmad
Penerbit: DBP.


Rajah 2.4:  Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) Sejarah Melayu, versi buku yang disusun oleh Cheah Boon Kheng, dengan teks Rumi oleh Abdul Rahman Haji Ismail.

Pada kemuncak kerajaan Melayu Melaka, terdapat beberapa karya kesusasteraan yang dipengaruhi oleh tulisan Arab seperti Hikayat Muhamad Ali Hanafiah, Hikayat Amir Hamzah, dan Hikayat Nabi Bercukur. Hikayat Amir Hamzah dan Hikayat Ali Hanafiah telah  memberi semangat serta kekuatan kepada orang Islam untuk menentang musuh di medan peperangan. Kerajaan Melayu-Melayu telah menggunakan Bahasa Melayu dalam sistem pentadbirannya. Kejatuhan Melaka menyebabkan era kerajaan Melayu berakhir di Tanah Melayu Melaka. 

Namun begitu kegemilangan Bahasa Melayu diteruskan oleh kerajaan Aceh dan seterusnya kerajan Johor-Riau. Kerajaan Johor-Riau merupakan warisan kerajaan Melayu-Melaka telah berusaha untuk mengembalikan kegemilangan kerajaan Melaka. Walaupun kerajaan Melayu-Melaka tewas ditangan Portugis pada tahun 1511,  hal ini tidak bermakna hilangnya pengaruh Bahasa Melayu. Malah, Bahasa Melayu semakin berkembang ke persisiran Sumatera, khususnya di Palembang dan Aceh yang menggantikan Melaka sebagai pusat kebudayaan dan keintelektualan Melayu. 
       
Hikayat Muhammad Hanafiah merupakan antara teks Melayu terawal. Hikayat ini mengisahkan kisah percintaan dan mengandungi kandungan mengenai aspek emosi, nilai kebudayaan dan nilai sosio politik. Hikayat ini sudah dikenali sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-16. Hikayat ini juga dikenali sebagai 'hikayat perang' kerana hampir keseluruhan isi hikayat penuh dengan kisah peperangan. Hikayat ini mengisahkan peristiwa yang berlaku sewaktu Sayidina Ali dipilih menjadi khalifah dan pemberontakan dilancarkan oleh Muawiyah terhadapnya. Setelah Ali dibunuh oleh seorang pengikut Khawarij, Muawiyah dilantik sebagai Khalifah. Sebelum meninggal dunia, Muawiyah melantik puteranya bernama Yazid sebagai raja. Dalam masa pemerintahannya, Yazid merancang pembunuhan terhadap dua putera Ali, iaitu Hasan dan Husin. Sebelum itu, berlaku beberapa peristiwa yang menyebabkan Yazid iri hati dan berdendam dengan kedua-dua mereka. Dengan menggunakan tipu helah, dia akhirnya berjaya membunuh kedua-dua putera Sayidina Ali itu.

Apabila Muhammad Hanafiyyah, saudara Hasan dan Husin yang menjadi Amir di negeri Baniar mendapat berita kematian saudaranya dan putera Husin bernama Ali Asghar atau kemudiannya dipanggil Zain al-Abidin dan ahli keluarga Rasulullah s.a.w ditawan, dia menyiapkan satu angkatan tentera dan menyerang Yazid. Yazid berjaya dikalahkan oleh Muhammad Hanafiyyah dan Yazid terbunuh apabila dia terjatuh ke dalam telaga api. Zain al-Abidin kemudiannya dilantik sebagai raja. Pada suatu hari, apabila Muhammad Hanafiyah mendapat tahu terdapat pengikut Yazid sedang berhimpun di dalam sebuah gua, dia menyerang mereka. Tanpa menghiraukan suara ghaib yang melarangnya beberapa kali supaya jangan keterlaluan, dia terus membunuh musuhnya, sehinggalah akhirnya pintu gua tertutup dan dia terkurung.

Hikayat Amir Hamzah daripada Naskah A - DBP MSS 4, Dewan bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Hikayat Amir Hamzah menceritakan perihal kegagahan dan keperwiraan seorang pejuang Islam, iaitu Amir Hamzah, pada zaman sebelum dan awal kebangkitan Islam. Ia ditulis kemungkinannya dari awal abad ke-16. Menurut pendapat orang-orang yang ahli dalam lapangan kesusasteraan, Hikayat Amir Hamzah ialah salinan daripada bahasa Parsi sungguh pun dalam bahasa 'Arab ada juga hikayat yang demikian. Hikayat Amir Hamzah adalah merupai sebuah buku yang tebal mengandungi 90 bab; di dalamnya meriwayatkan kisah keberanian dan kegagahan Sayyidina Hamzah mengepalai tentera Islam dalam peperangan menentang tentera-tentera kafir. Seperti yang tersebut di dalam riwayatnya bahawa Amir Hamzah ialah bapa saudara kapada Nabi Muhammad s.a.w iaitu putera kepada Abdul Mutalib. Amir Hamzah di-katakan mulai menerima agama Islam sesudah dua tahun Rasulullah menerima walinya yang pertama dan telah bersama-sama mengikut Nabi Muhammad berhijrah (berpindah) ke Madinah. Amir Hamzah adalah terkenal sebagai pahlawan Islam yang terbilang; keberanian dan jasa-jasanya di medan-medan perang terutama sekali dalam peperangan Badar amatlah besar ertinya di sisi sejarah perkembangan agama Islam. Sayyidina Hamzah telah tewas tatkala melawan orang-orang kafir Makkah yang banyak bilangannya di kaki bukit Uhud, dekat Madinah. Maka kerana itulah riwayat Amir Hamzah sentiasa di-kenang oleh umat Islam; dan di dalam hikayatnya banyak pula diadakan tokok tambah oleh pengarangnya.

Kesimpulannya, kerajaan Kesultanan Melaka telah memainkan peranan penting dalam mengembangkan Bahasa Melayu melalui pentadbiran, perkahwinan, ekonomi, perdagangan dan ruang lingkup kehidupan masyarakat di Melaka dan kawasan jajahannya. Kejatuhan Melaka tidak bermakna pupusnya Bahasa Melayu di rantau ini kerana kemunculan Aceh sebagai kuasa yang menggantikan kerajaan Melaka telah memberikan kesan yang besar terhadap pengembangan Bahasa Melayu di rantau ini.
Kerajaan Aceh
Kejatuhan kerajaan Melayu Melaka kepada Portugis membawa kebangkitan Aceh di bawah kepimpinan Sultan Ali Mukayat Syah (1514-1528), Sultan Salehuddin (1528-1537), Sultan Alauddin Riayat Syahal Kahar (1537-1568), Sultan Ali Riayat Syah (1568-1573), Sultan Seri Alam (1576), Sultan Muda (1604-1607) dan Sultan Mahkota Alam (1604-1607). Semua serangan Portugis dapat ditangkis oleh sultan-sultan Aceh ini. Zaman keemasan kerajaan Aceh telah menjadikan Bahasa Melayu semakin berkembang luas dan menjadi bahasa rasmi negara. Aceh menjadi pusat perkembangan ilmu khususnya perbincangan ilmiah tentang ilmu tasauf dan akidah Islam dan wadahnya ialah Bahasa Melayu. 

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgZ1oP3OnfFopIXTIsYf1mj0NMf1KbJDuHpDS8C6n6e9yxYXQTQ7Dtim6OFjpikOSRPadWVK_7u0ZA_r1SKaKsGYyV2duu14MQv90-bgZeX8ZS1vbs3D6P0bkBfNfF5MczCnOBwmfK1FFY/s320/acheh+2.jpg 
Rajah 2.5: Kerajaan Aceh

Kerajaan Aceh memberi perlindungan kepada pedagang yang berniaga di bawah kekuasaan Aceh. Surat raja Aceh (Sultan Alauddin Shah) kepada Harry Middleton ditulis dalam Bahasa Melayu pada tahun 1601 semasa kapal tersebut berlabuh di pelabuhan Aceh. Perkataan-perkataan telah ditransliterasikan daripada huruf Jawi kepada huruf Rumi memperlihatkan sebahagian besar Bahasa Melayu yang digunakan dalam surat ini dikatakan serupa dengan Bahasa Melayu sekarang. Terdapat beberapa perkataan yang mengalami perubahan, misalnya sarwa=segala; sekalian=seluruh; pertuha=pertua/ketua; ta’kluk=takluk; Inglitir=Inggeris; kapitan=kapten; memeli=membeli; suhbat=sahabat; meli berjual=berjual-beli dan lain-lain.

Bahasa yang hampir sama juga kelihatan dalam surat kebenaran berniaga daripada raja Aceh kepada James Lancester bertarikh 1602. Pada abad ke-16 juga kerajaan Aceh banyak berutus surat dan juga mengikat perjanjian dengan kerajaan Belanda. Kitab Thamaratul Matlub fi Anuaril Qulub  memuatkan pelbagai surat dan perjanjian antara raja-raja Melayu dengan raja-raja Bugis dengan Belanda, serta natara Belanda dengan Inggeris. 

Banyak karya serta kitab diterbitkan di pulau ini, seperti kitab “Al-Hakim” oleh Tajuddin Abdul Fadzil Ahmad ibn Abdul Karim (1863 M) dan “Sabil Al-Hidayat” oleh Sayyed Aluwi Ba’aluwi (1899 M). Hasil penulisan yang terkenal dan terpenting dalam dunia persuratan Melayu ialah karya Raja Ali Haji, iaitu “Bustan Al-Katibin” (1857 M), “Pengetahuan bahasa” (1859 M), “Salasilah Melayu dan Bugis” (1865 M) dan “Tuhfat Al-Nafis” (1865 M).  Di Aceh juga, terdapat penulis tempatan yang telah menarik pembaca untuk menghayati Islam. Palembang dan Aceh telah menggantikan Melaka sebagai pusat keintelektualan Melayu. Antara tokoh-tokoh di Aceh ialah:
  1. Sheikh Nuruddin Al-Raniri (“Bustanul Salatin”)
  2. Shamsuddin Al-Sumaterani (“Mirat Al-Mukmin”)
  3. Abdul Rauf Singkel (“Mirat Al-Tullab”)
  4. Hamzah Fansuri (“Syair Perahu”)
Di Palembang pula terdapat Abdul Samad Al-Falembani dengan kitab “Hikayat Al-Salakin”. Selain daripada Aceh dan Palembang, beberapa tokoh juga timbul di tempat-tempat lain. Di Brunei, Pengiran Syahbandar Muhammad Salleh (Pengiran Indera Muda) telah menghasilkan “Syair Rakis”, manakala di Banjarmasin pula terkenal dengan Arshad Al-Banjari dengan kitab “Sabil Al-Muhtadin”.  Sheikh Mohd Ismail Daud Al-Fatani  di Pattani pula menghasilkan “Matla’al Badrain” dan “Furu’ Al-Masail”.

Hamzah Fansuri merupakan penulis zaman ini yang sangat terkenal. Beliau dikatakan berasal dari Barus, Sumatera dan suka mengembara ke pelbagai tempat untuk menambah pengetahuannya. Antaranya ialah Makkah, Baghdad, Pahang dan Kudus di Pulau Jawa. Beliau menguasai bahasa Arab dan Parsi di samping Bahasa Melayu yang menjadi bahasa ibundanya.  Hamzah Fansuri menghasilkan karyanya pada masa Sultan Iskandar Mahkota Alam yang memerintah Aceh pada tahun 1606-1636M. Karya ciptaannya merupakan prosa dan syair dicipta pada awal abad ke-17.  Hamzah Fansurilah yang mula-mula memperkenalkan bentuk syair dalam Bahasa Melayu. Antara prosanya yang terkenal ialah Asrarul fi bayan Ilm al-Suluk wal-Tawhid,  al-Muntahi  dan   Sharabul-Ashiqin  atau   Zinatul-Muwahiddin.  Syairnya pula ialah Syair Dagang, Syair Jawi fasal fi bayan Ilm al-Suluk wal-tawhid  dan  Syair Perahu.
Syamsuddin Pasai yang menjadi ulama istana Aceh pada masa pemerintahan Mahkota Alam (1607-1636) terkenal sebagai pengikut Hamzah Fansuri. Karyanya menyentuh bidang tasauf. Antara karyanya yang terkenal ialah  Mir’at al-Mukmin, Mir’at al-Muhakkihin, Mir’at al-Qulub, Kitab Siri al-Arifna  dan Kitab fi Dhikrda’ira kab al-Kansayna.  Seorang lagi tokoh pada zaman ini ialah Abdul Rauf Singkel yang menghasilkan kitab Mir’at a’t-Tullab fi Tashli Makrifat al-Ahkam a’sh Shariyyah li Malik a’l-Wahhab, Umdat al-Muhtajia, terjemahan  tafsir Baidhawi dan autobiografi. 

Pada masa itu juga di Johor terdapat beberapa hasil penulisan seperti “Hikayat Negeri Johor” dan “Kitab Pemimpin Johor”.  Kerajaan Melayu Johor-Riau terus menjadi pusat pengembangan Bahasa Melayu sehingga menjadi bahasa persatuan di seluruh Nusantara. Menurut Syed Naquib Al-Attas, karya keagamaan yang tertua dalam Bahasa Melayu ialah terjemahan Bahasa Melayu al-Nasafi, iaitu ‘Aqa’id.  Karya ini mengemukakan pernyataan masalah tentang kewujudan hakikat benda, hakikat ilmu, teori cakerawala, hakikat Tuhan dan diri manusia.  Karya ini merupakan asas pengilmuan dalam Bahasa Melayu yang kemudiannya dikembangkan oleh penulis lain. Analisis kedua terhadap kitab ini dilakukan oleh Asmah Haji Omar yang telah memberikan maklumat tentang Bahasa Melayu abad ke-16 dan seterusnya sejarah evolusi Bahasa Melayu.  Pertemuan kitab ini merupakan jambatan hubungan perkembangan Bahasa Melayu antara abad ke-14 dengan abad ke-17. 

 

 

1 comment:

  1. Phen375 (Phentemine375) is really an most recent piece that is
    definitely gaining interest being a additional fat burner.
    Phen 375 fat reduction medications incorporate phentemine, a program which performs each just
    as one hunger controller in addition to a more fat burner.
    phentermine hclgoing on
    a diet pure treatment is permitted by way of the Fda standards and in addition is produced with the
    best parts. You could be suspicious toward diet program treatment options once you have used virtually every little thing just to eradicate fat, but did not acquire good results.

    Loosing excessive fat is usually a frustrating undertaking.

    But this brand new weight reduction assistance could possibly be
    worth an attempt.This kind of recommended weight great loss supplement just isn't just proved to turn into successful, it also offers online assist class for you to manual you actually each stage. Phen 375 is proven to be a safe way to get eliminate fat. Phen375 but not only controls your desire for foods, it can also help you actually conserve a high level of energy to help you make get rid of extra energy. Together with changing the landscape of reveals like The Main Loser, maybe you have found out that you have to eat so as to burn fat. Nearly all individuals typically fail connected with purging, starvation as well as consuming fewer to shed weight. You dont get rid of anything you do not need. Exactly what Phen375 really is who's maintains a person's rate of metabolism large and that means you are able melt away anything you take in.
    My website fat burners

    ReplyDelete

my ♥,,,

Search This Blog