as salam and welcome..♥
Refleksi Kendiri
Saya
telah menerima tugasan ini pada 30 Januari 2012 oleh pensyarah pembimbing bagi
subjek Morfologi Bahasa Melayu. Menerusi
tugasan ini, saya perlu menyiapkannya secara individu. Terdapat empat
sub-tugasan yang diberikan iaitu berkaitan pengenalan kepada kandungan bidang
kajian morfologi, definisi konsep pembentukan kata, proses pembentukan kata,
analisis kata pinjaman dalam petikan berkaitan bahasa serta proses dan jenis
pembentukan akronim.
Perkara
utama yang saya ingin fokuskan dalam tugasan kerja kursus berasaskan ilmu ini
adalah terhadap sub-sub tugasan yang memerlukan saya mengaplikasikan semua
pembelajaran teori di dalam kelas serta pemahaman tentang subjek morfologi.
Sememangnya semua maklumat atau nota dapat dicari dan dirujuk di dalam
buku-buku rujukan dan sumber internet, namun untuk menjawab dan menjelaskan
soalan tugasan ini kami perlu memahami konsep pembentukan kata terlebih dahulu.
Bagi saya, tugasan kali ini saya perlu mengaplikasikan setiap apa yang
dipelajari dalam kelas dan melalui pembacaan untuk menyelesaikan tugasan ini.
Saya
sebenarnya sudah mempelajari tajuk morfolgi pada semester yang lalu. Saya
membuat rujukan menerusi beberapa buah buku dan nota yang telah dibentangkan
oleh pensyarah pembimbing memandangkan saya merasakan kurang jelas dengan
kefahaman saya selama ini. Hal ini membuktikan bahawa lebih kurang tiga puluh
peratus sahaja pembelajaran di dalam kelas membantu daya ingatan kami. Saya
mulai akur dengan pendapat yang menyatakan kita tidak dapat memperoleh
sepenuhnya ilmu yang disampaikan dengan hanya mendengar. Oleh hal yang
demikian, bermula hari ini saya bertekad akan lebih fokus dalam pembelajaran di
dalam kelas dan mencatat apa yang diajar bukan hanya melihat dan mendengar
samata-mata. Bukan itu sahaja, saya mulai sedar bahawa untuk memahami dan
menguasai bidang sintaksis ini, latihan ialah perkara yang paling penting perlu
dilakukan.
Setelah
mendapat bimbingan daripada pensyarah pembimbing, saya mulai jelas sedikit demi
sedikit berkenaan tugasan ini. Setelah sesi soal jawab dan bimbingan di dalam
kelas bersama pensyarah, saya mula mendapat gambaran untuk menyiapkan tugasan
ini. Menerusi tugasan ini, saya dapat membina banyak kefahaman berkenaan konsep
pembentukan kata serta proses pembentukan kata yang terdapat dalam bahasa
Melayu yang belum saya kuasai sebelum
ini. Walaupun masih tidak dapat menguasai sepenuhnya, namun saya akui tugasan
ini banyak membantu saya memahami apa yang dipelajari pada semester ini. Pada
masa sekarang, saya rasakan adalah tidak wajar bagi saya untuk tidak
mempraktikkan apa yang telah saya pelajari pada masa terdahulunya kerana
kesannya saya telah lupa apa yang telah pelajari. Oleh hal yang demikian,
sebagai guru bahasa Melayu kelak, saya sangat menyesal atas kesilapan ini. Saya
akan berusaha untuk sentiasa membuat latihan bagi mengukuhkan penguasaan saya
dalam bidang tatabahasa kerana sangat memalukan jika seorang bakal guru bahasa
tidak mahir tentang bahasa khususnya berkaitan morfologi.
Saya sedar bahawa apa
yang saya pelajari pada setiap semester di institusi ini semuanya telah
dirancang dengan baik oleh pihak pengurusan. Oleh hal yang demikian, saya rasa
apa yang diajar di sini mempunyai perkaitan antara satu sama lain dan merupakan
keperluan bagi seseorang bakal guru bahasa. Selepas ini saya tidak akan lagi
mengambil mudah terhadap apa yang dipelajari dan akan sentiasa memastikan diri
saya memberi fokus seratus peratus terhadap apa yang disampaikan di dalam
kelas. Saya mulai sedar masih banyak kelemahan diri saya dalam bidang morfologi.
Pada masa akan datang, saya akan mendapatkan bimbingan yang lebih daripada
pensyarah Pengajian Melayu terutamanya dalam bidang tatabahasa Melayu.
Dengan tugasan ini, saya mengharapkan saya
mampu melakukan perubahan dalam diri saya terutama dari segi sikap sambil lewa
terhadap subjek yang dipelajari serta lebih rajin untuk membuat latihan agar
penguasaan dalam bidang tatabahasa dapat dikukuhkan. Saya akan cuba memajukan
diri untuk memahami dan menguasai bidang ini dengan lebih mendalam memandangkan
masih banyak yang saya masih kurang jelas dalam aspek bahasa Melayu ini.
Tugasan ini secara jujurnya, menjadikan saya lebih bersemangat untuk
mempelajari lebih banyak kemahiran dan pengetahuan daripada pensyarah-pensyarah
yang mempunyai banyak pengalaman di institut ini. Hal ini sekali lagi mendorong
saya untuk menjadi seorang guru yang berkualiti serta mampu menjadikan setiap
pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan sentiasa berkesan. Semua yang telah
saya fahami dan pelajari ini akan saya ingat dan praktikkan apabila menjadi
guru kelak.
Disediakan oleh:
…………………………………………
(SITI NUR ‘ATIQAH MOHD
ZUKHI)
5PISMP BAHASA
MELAYU/PENDIDIKAN JASMANI/PENDIDIKAN SENI VISUAL
tq...permission to use abit
ReplyDeletesama-sama...semoga dipermudahkan segala urusan
ReplyDelete